Skip to content
TGF IDEAS EMPIRE

29 October 2026

“Wedding Photography Tak Kemana?

Wedding Photography: Kita Berniaga atau Sekadar Cari Duit Poket?

“Asalkan ada job, dapat untung RM100–RM200 pun jadilah. Daripada tak ada langsung.”

Pernah dengar ayat macam ni?

Dalam industri wedding photography, perkara ni bukan sesuatu yang asing. Ada yang sanggup menawarkan harga terlalu rendah semata-mata nak dapatkan pelanggan. Alasannya mudah, daripada kamera tersimpan dalam beg, baik keluar shooting.

Tak salah nak cari rezeki. Tak salah juga nak tawarkan pakej mampu milik. Tapi kita kena faham beza antara mencari pendapatan sampingan dengan membina sebuah perniagaan.

Wedding photography bukan sekadar datang majlis, tekan shutter, balik rumah dan transfer gambar kepada pelanggan.

Di sebalik satu tugasan, ada kos peralatan, penyelenggaraan kamera, komputer, perisian editing, pengangkutan, masa berurusan dengan pelanggan, proses pemilihan gambar, editing dan penghantaran hasil akhir.

Itu belum masuk kos pemasaran, album, pekerja, cukai dan pelbagai kos operasi lain.

Persoalannya, bila semua kos ini diambil kira, betul ke kita masih untung?

Katakan satu job bernilai RM500. Selepas ditolak kos minyak, makan dan beberapa perbelanjaan lain, berbaki RM300.

Nampak macam untung.

Tapi bagaimana dengan masa 8 jam di lokasi, beberapa jam editing, susut nilai kamera dan kos menjalankan perniagaan?

Kalau semua itu tidak dikira, sebenarnya kita mungkin sedang menjual masa dan tenaga sendiri dengan harga yang terlalu murah.

Saya bukan mengatakan jurugambar baharu wajib mengenakan harga tinggi. Semua orang bermula dari bawah. Saya sendiri bermula dengan wedding photography sejak 2010.

Cuma satu perkara yang perlu difahami, harga murah boleh menjadi strategi pemasaran, tetapi jangan sampai ia menjadi model perniagaan yang tidak mampu bertahan.

Pelanggan mempunyai hak untuk memilih mengikut bajet mereka. Jurugambar pula berhak menentukan harga berdasarkan kos, pengalaman dan nilai perkhidmatan yang diberikan.

Tak perlu salahkan pelanggan yang mencari harga murah. Dan tak perlu juga bermusuh dengan jurugambar yang menawarkan harga rendah.

Sebaliknya, kita perlu belajar mengira kos, menentukan margin keuntungan dan membina nilai perkhidmatan.

Sebab matlamat berniaga bukan sekadar memastikan ada job setiap minggu.

Matlamat sebenar ialah membina perniagaan yang mampu bertahan, berkembang dan memberikan pulangan yang setimpal.

Setiap bulan sibuk shooting tetapi hujung bulan masih tak nampak ke mana perginya duit, mungkin sudah tiba masanya kita menilai semula cara kita berniaga.

Kamera mungkin aset kita. Tapi ilmu mengurus perniagaan yang menentukan sejauh mana kita boleh pergi.

Sekadar perkongsian dan pandangan daripada pengalaman dalam industri fotografi.

TGF IDEAS EMPIRE We Serve You Better

More from the blog